DARIPADA Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu
melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang
mukmin seperti diperintahkan-Nya kepada rasul. Firman-Nya: Wahai rasul,
makanlah makanan baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal salih.
Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah
al-Mukminun, ayat 51)
Firman Allah lagi: Wahai orang beriman!
Makanlah rezeki yang baik-baik yang kami rezekikan kepadamu. (Surah
al-Baqarah, ayat 172). Kemudian Nabi SAW menceritakan mengenai seorang
lelaki sudah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya
sehingga rambutnya kusut-masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya
ke langit dan berdoa: Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya
daripada barang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya
daripada yang haram dan dia diasuh dengan makanan haram. Maka
bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya." (Hadis riwayat Muslim)
Berdoa
itu tidak boleh dilakukan secara semberono (tidak berhati-hati) dan
sembarangan, tetapi perlu kepada adab serta syarat tertentu. Orang yang
berdoa sambil lewa dan menganggap berdoa itu adalah suatu yang remeh
adalah orang doanya jarang dikabulkan sehingga kemudian timbul prasangka
buruk kepada Allah.
Memakan makanan halal dan baik adalah satu
bentuk ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Maka
apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam segala perkara dan
sentiasa berada dalam kebenaran, Insya-Allah segala yang dimohon akan
dikabulkan Allah.
Kita hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan,
harapan dan rasa takut,
Merendahkan diri dengan suara lirih, tenang,
tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat meminta. Ia
berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Berdoalah kepada Tuhanmu
dengan merendah diri dan suara yang lembut." (Surah al-A'raf , ayat 55)
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah
dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh satu
daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia,
disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan
mencegahnya daripada musibah (bencana) serupa." (Hadis riwayat
at-Tabrani)
"Serulah
ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan
nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau
serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah
jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan
Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah
petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)